Thursday, 26 March 2015

Jurnal Bahasa

Ulasan Jurnal Bahasa

Tajuk: Permasalahan Kemahiran Membaca Dan Menulis Bahasa Melayu Murid-Murid Sekolah Rendah Di Luar Bandar.


Pengenalan 

Kemahiran membaca dan menulis merupakan kemahiran asas Bahasa Melayu untuk murid-murid sekolah rendah. Suatu kajian telah dijalankan untuk merungkai masalah kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu dalam murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan tentang kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Responden kajian terdiri daripada 161 murid sekolah rendah di luar bandar di Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak. kajian yang dilakukan adalah berbentuk deskiptif.

Objektif

Dalam kajian ini, objektif  umum adalah untuk mengenal pasti masalah dalam kemahiran membaca dan menulis murid-murid sekolah di luar bandar. Manakala objektif khusus pengkaji dalam kajian ini adalah seperti berikut:

a) Mengenal pasti masalah kemahiran membaca Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar      bandar.
b) Mengenal pasti masalah menguasai kemahiran menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah               rendah di luar bandar.
c) Sejauh mana persepsi murid terhadap pengajaran guru dalam pengajaran membaca dan menulis.

Hasil Kajian

Hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa terdapat permasalahan kemahiran membaca Bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah rendah di luar bandar. Secara keseluruhan, hasil kajian ini menunjukkan bahawa keseluruhan min masalah membaca dalam kalangan murid iaitu min= 3.56, sp= 0.86. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa kegagalan responden memahami isi kandungan teks yang dibaca yang paling tinggi iaitu dengan min=3.40, sp=0.71. Ini merupakan antara permasalahan yang menyebabkan murid gagal memahami kandungan maklumat yang dibaca. Selain itu, didapati murid tidak dapat memahami maksud ayat yang dibaca dengan baik iaitu min=3.24, sp=0.60. Kegagalan memahami kemahiran asas ini menjadikan murid tidak berkeupayaan menguasai kemahiran menyenaraikan idea-idea utama atau mengelaskan isi kandungan teks dengan baik. Manakala ketidakupayaan murid menguasai kemahiran asas dalam bacaan menjadikan murid tidak berkemahiran membaca secara mekanis, iaitu bacaan pantas dengan min=2.90, sp=0.91 dan murid cepat berasa penat semasa membaca dalam masa yang agak lama dengan min=2.90, sp=0.91

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa permasalahan yang wujud dalam kemahiran membaca dapat diperbaiki dengan merancang aktiviti pengajaran yang menarik dan kondusif oleh guru. Selain itu, suasana pembelajaran yang selesa dan dorongan daripada guru dapat mewujudkan motivasi dan menanamkan minat murid agar terus belajar. Hasil kajian ini mendapati bahawa latihan bacaan tambahan dapat meningkatkan kemahiran bacaan murid dengan min=3.70, sp=0.53 dan kaedah latih tubi yang dijalankan dengan kerap dalam bacaan dapat membantu sebutan serta kelancaran murid dalam bacaan min=3.70, sp=0.66. Murid-murid ini percaya bahawa penguasaan kemahiran membaca yang baik dapat menjadikan aktiviti membaca di dalam kelas sebagai suatu aktiviti yang amat menarik min=3.60, sp=0.54. Selain itu, faktor dorongan daripada guru, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersesuaian dengan kebolehan dan penguasaan membaca murid dapat menjadikan suasana aktiviti membaca menjadi berkesan dan bermakna kepada murid min=3.54, sp=0.72 

Kesimpulan 
Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan menulis menjejaskan potensi serta motivasi dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua responden bersetuju bahawa faktor kebolehan dan kreativiti guru dapat mengubah persepsi serta kesedaran bahawa mereka juga mempunyai potensi untuk berjaya dalam pembelajaran. Dalam kerjasama yang melibatkan pihak pengurusan sekolah diharapkan dapat membina iklim persekolahan yang kondusif, dan persekitaran sekolah yang selamat dapat merangsang murid bermotivasi untuk terus belajar. Selain itu, faktor guru yang berketerampilan serta berkeupayaan menyerap kaedah, teknik dan aktiviti serta menstrukturkan tahap pembelajaran supaya menjadi satu set binaan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memberikan kesan positif dan bermakna. Faktor ini sememangnya dapat membina pembelajaran yang  menggalakkan hala tuju pengajaran yang hendak dicapai oleh guru. 

 

No comments:

Post a Comment